Friday, February 18, 2005

Utara Semenanjung berganjak 18 sentimeter ekoran gempa tsunami

Oleh: SAIFUL HAIZAN HASAM

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Kedudukan Semenanjung Malaysia didapati berganjak sebanyak 18 sentimeter atau 7.2 inci ke arah barat dari paksinya di selatan ekoran gempa bumi besar di dasar laut dengan kekuatan 9 pada skala Richter 26 Disember lalu.

Pergerakan itu diibaratkan seperti putaran jarum jam dalam arah bertentangan - menarik ke arah Sumatera.

Hanya kawasan di utara dilaporkan berganjak daripada kedudukan asalnya.

Penemuan itu diperoleh oleh sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan, Sains dan Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dianggotai Prof. Dr. Abd. Majid Kadir, Prof. Madya Dr. Shahrum Ses dan Prof. Madya Kamaludin Omar.
Kajian saintifik itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Sebelum ini, pakar Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), Ken Hudnut menyatakan gempa bumi itu menyebabkan bumi bergegar pada paksinya dan peta kawasan sekitarnya berubah secara kekal.

Menurut Shahrum, bacaan pergerakan itu diperoleh menerusi analisis data Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dikumpulkan daripada rangkaian 17 stesen Malaysian Active GPS System (MASS).

Katanya, lokasi stesen itu di Semenanjung ialah Geting, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Kuantan dan Kertau di Pahang; Segamat dan UTM, Johor; Ipoh, Perak; Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang; dan Arau Perlis.

Sementara itu katanya, lokasi MASS di Sabah ialah Sandakan, Tawau, Labuan dan Kota Kinabalu manakala di Sarawak pula ialah Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

``Setiap stesen itu dilengkapi dengan alat penerimaan yang membolehkannya dikesan oleh satelit untuk tujuan pemetaan.

``Selepas gempa bumi itu berlaku, didapati bacaan kedudukan atau koordinat asalnya telah berubah terutama di stesen Arau dan USM yang mencatatkan perbezaan sebanyak 14 dan 13 sentimeter setiap satu,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Seminar Serantau Deodinamik di sini hari ini.

Kata Shahrom, bacaan pergerakan sebanyak 18 sentimeter itu pula adalah berdasarkan pergerakan dalam skala yang kecil di kebanyakan stesen di Semenanjung.

``Analisis bacaan data daripada lapan stesen MASS di Sabah dan Sarawak bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perubahan.

``Perbezaan bacaan kedudukan itu lebih tertumpu di kawasan utara yang terdedah secara langsung dengan kawasan gempa bumi,'' ujarnya.

Katanya, bacaan data koordinat stesen MASS itu diambil bermula 12 Disember sehingga 6 Januari lalu untuk membuat perbandingan kedudukan sebelum dan selepas bencana itu berlaku.

``Perubahan kedudukan itu menyebabkan kajian semula mengenai koordinat stesen MASS perlu dilakukan.

``Ia adalah untuk tujuan sistem pemetaan negara kerana jika tiada tindakan susulan diambil, kedudukan Semenanjung Malaysia di dalam peta adalah tidak tepat,'' tegasnya.

Ketika ditanya sama ada kedudukan negara-negara serantau turut mengalami perubahan, beliau menjelaskan kemungkinan mengenainya adalah tinggi.

``Penyelidikan yang dilakukan oleh pihak kami hanya terhad di Malaysia sahaja kerana setakat ini tiada kerjasama bersepadu mengenainya.

``Diharapkan seminar yang dianjurkan hari ini menjadi platform pembentukan kerjasama untuk menilai kedudukan tepat stesen GPS di negara-negara ASEAN selepas gempa bumi tersebut,'' jelasnya.

Shahrum juga merupakan antara penulis kertas kerja bertajuk Initiatives Toward Geodynamics Monitoring Of The South East Asia Region yang dibentangkan oleh Majid pada seminar itu.

Seminar sehari anjuran bersama UTM, Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM) dan Program Rangkaian Universiti ASEAN-EU itu turut dihadiri Ketua Delegasi Pesuruhjaya Eropah di Malaysia, Thierry Rommel.

sumber : utusan malaysia online 17 februari 2005

No comments: